Sistem penentuan jantina
From Wikipedia, the free encyclopedia
Sistem penentuan jantina merupakan satu sistem biologi yang menentukan perkembangan ciri-ciri seks dalam sesuatu organisma. Kebanyakan jenis organisma berseks terdiri daripada dua jantina. Kadang-kadang, terdapat jantina khunsa yang mengambil tempat salah satu atau kedua-dua jantina. Juga terdapat sesetengah spesies yang hanya terdiri daripada satu jantina kesan daripada partenogenesis, iaitu tindakan si betina membiak tanpa persenyawaan. Selalunya, penentuan seks adalah secara genetik: jantan dan betina mempunyai alel yang berbeza ataupun gen berbeza yang menentukan morfologinya. Bagi haiwan, ini lazimnya diiringi oleh perbezaan kromosom. Penentuan secara genetik terdiri daripada gabungan-gabungan kromosom XY, ZW, XO, atau haplodiploid. Pembezaan seks lazimnya bermula dengan gen utama, lokus seks, disusuli oleh sejumlah besar gen lain secara kesan domino. Jika tidak begitu, seks ditentukan pula oleh faktor persekitaran (seperti suhu) mahupun sosial (saiz sesuatu organisma berbanding dengan ahli-ahli lain dalam populasinya). Penentuan seks secara persekitaran berlaku sebelum genetik; adalah dipercayai bahawa sejenis reptilia yang bergantung pada suhu merupakan leluhur kepada semua kromosom seks. Sesetengah spesies tiada jantina tetap, sebaliknya mengubah seks mengikut pencetus-pencetus tertentu. Butiran sistem penentuan seks belum difahami sepenuhnya.