Penyakit kaki dan mulut
From Wikipedia, the free encyclopedia
Penyakit kaki dan mulut atau penyakit kuku dan mulut (Aphthae epizooticae) merupakan penyakit virus berjangkit dan kadang-kadang membawa maut yang menjejaskan haiwan bertelapuk berbelah, termasuklah rumpun lembu.[1][2] Virus ini menyebabkan demam panas selama dua ke tiga hari, diikuti dengan lepuh-lepuh di dalam mulut dan pada kaki yang mungkin pecah dan menyebabkan ketempangan.
Penyakit kaki dan mulut | |
---|---|
Pengelasan dan sumber luaran | |
ICD-10 | B08.8 (ILDS B08.820) |
ICD-9 | 078.4 |
P. Data Penyakit | 31707 |
MeSH | D005536 |
Penafian perubatan |
Penyakit kaki dan mulut mendatangkan padah yang besar bagi penternakan kerana ia amat berjangkit dan tersebar oleh haiwan berjangkit melalui aerosol ataupun persentuhan dengan kelengkapan penternakan, kenderaan, pakaian atau pakan yang tercemar, ataupun oleh pemangsa yang jinak mahupun liar.[3] Pembendungannya menuntut usaha yang menyeluruh dalam pemvaksinan, pengawalseliaan ketat, sekatan perdagangan, dan kuarantine, dan adakalanya membunuh haiwan tersebut.
Antara haiwan yang terdedah adalah lembu, kerbau, biri-biri, kambing, babi,[4][5] antelop, rusa, dan bison. Ia juga diketahui menjangkiti hedgehog dan gajah;[3][6] llama dan alpaka mungkin mendapat simptom-simptom ringan tetapi tahan penyakit ini dan tidak menyebarkannya kepada lain-lain yang sama spesies.[3] Dalam eksperimen makmal, tikus dan ayam berjaya dijangkiti secara artifisial tetapi dipercayai tidak menghidap penyakit ini secara semula jadi.[3] Manusia jarang sekali dijangkiti.
Virus yang menyebabkan penyakit ini merupakan pikornavirus, iaitu ahli prototaip bagi genus Aphthovirus. Jangkitan berlaku apabila zarah virus dibawa ke dalam sel perumah. Kemudian sel itu dipaksa menghasilkan ribuan salinan virus itu hingga ia akhirnya pecah dan melepaskan zarah-zarah baru ke dalam darag. Virus ini sangat banyak ragamnya dari segi genetik,[7] maka terhadnya keberkesanan vaksin.