Kontroversi stoking kalimah Allah 2024
From Wikipedia, the free encyclopedia
Pada 13 Mac 2024, tular satu gambar yang menunjukkan bahawa terdapat kalimah Allah, tuhan umat Islam di Malaysia pada stoking di KK Super Mart, Bandar Sunway Piramid, Petaling Jaya.
Rencana ini menerangkan hal semasa. Maklumatnya besar kemungkinan berubah-ubah seiring dengan perkembangan peristiwa, dan laporan berita awal tidak semestinya boleh dipercayai. Kemas kini terakhir bagi rencana ini tidaklah membayangkan maklumat yang paling terkini. |
Kes ini mendapat perhatian orang ramai dan segelintir ahli politik yang mengulas dan memberi pendapat seperti Dr. Muhamad Akmal Saleh, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Datuk Razali Idris, segelintir pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan ramai lagi. Namun, terdapat segelintir pihak cuba meredakan dan menggesa orang ramai untuk tidak membesarkan isu ini seperti Chong Sin Woon, Loke Siew Fook, Nga Kor Ming, Dato Sri Tiong King Sing, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pemangku Sultan Johor (Tunku Mahkota Johor), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sekeras-kerasnya oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian sama berulang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dua kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 42 laporan. Kes ini akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.
Pada 26 Mac, semua individu yang bertanggungjawab (pengarah syarikat KK Super Mart dan Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd) dihadapkan ke mahkamah atas beberapa pertuduhan, iaitu Seksyen 298 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan dengan sengaja mencederakan perasaan agama orang lain serta bersubahat.[1] Tambahan pula, KK Super Mart dan Superstore Sdn Bhd memfailkan tuntutan saman sekurang-kurang RM38 juta terhadap pengarah dan syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd atas pertuduhan pelanggaran kontrak, sabotaj serta kecuaian dalam membekalkan stoking tertera kalimah Allah.[2]