Bekalan elektrik tiga fasa
From Wikipedia, the free encyclopedia
Bekalan elektrik tiga fasa adalah satu cara lazim bagi penghantaran bekalan elektrik arus ulang-alik.[1] Ia merupakan sejenis sistem berbilang fasa, serta merupakan kaedah yang paling lazim digunakan dalam sistem grid pengagihan elektrik di seluruh dunia. Ia juga digunakan sebagai punca kuasa bagi motor elektrik yang besar serta penggunaan beban tinggi yang lain. Secara amnya, sistem tiga fasa merupakan sistem yang paling ekonomik kerana ia menggunakan kurang bahan pengalir bagi menghantar bekalan elektrik daripada sistem fasa tunggal ataupun dua fasa yang setara pada voltan yang sama.[2]
Di dalam sistem tiga fasa, tiga pengalir mengangkut tiga arus ulang-alik (yang sama frekuensinya) yang mencapai nilai puncaknya pada masa yang berbeza, dengan selang antara fasa sebanyak 1/3 kitaran. Selang antara fasa ini mempunyai kesan pemindahan kuasa yang malar pada setiap kitaran litar, serta membolehkannya menghasilkan medan magnet berputar pada motor elektrik.
Sistem tiga fasa boleh jadi ada atau tiada wayar neutral. Wayar neutral membolehkan sistem tiga fasa menggunakan voltan yang lebih tinggi sementara ia menyokong peralatan fasa tunggal bervoltan rendah. Bagi sistem penghantaran voltan tinggi, adalah lumrah untuk tidak menggunakan wayar neutral langsung memandangkan beban boleh disambungkan terus antara fasa.
Sistem tiga fasa mempunyai sifat yang menjadikannya sistem yang sesuai bagi sistem penghantaran elektrik:
- Arus fasa cenderung untuk saling membatal sesama sendiri, bersamaan dengan sifar dalam kes beban seimbang. Ia membolehkan wayar neutral dikecilkan saiznya ataupun tidak digunakan langsung; kesemua wayar fasa mengangkut arus yang sama serta menggunakan saiz pengalir yang sama, bagi kes beban seimbang.
- Pemindahan kuasa bagi beban seimbang linear adalah malar, mengurangkan gegaran pada penjana dan motor.
- Sistem tiga fasa boleh menghasilkan medan magnet yang berputar mengikut arah yang tetap, mempermudahkan rekaan motor elektrik.
Kebanyakan pengguna rumah menggunakan sistem fasa tunggal. Di Malaysia, pengguna rumah memperoleh bekalan fasa tunggal dua dawai 240 V daripada sistem pengagihan tiga fasa 415 V melalui sambungan pada wayar neutral serta salah satu daripada tiga wayar fasa.
Kod warna bagi sistem tiga fasa adalah berbeza mengikut negara, Di Malaysia, kod warna bagi wayar-wayar fasa adalah seperti berikut:-
- L1: Merah
- L2: Kuning
- L3: Biru
- Neutral: Hitam