Tujuh Tasik Rila
From Wikipedia, the free encyclopedia
Tujuh Tasik Rila (Bahasa Bulgaria: Седемте рилски езера, atau Sedemte rilski ezera) merupakan sekumpulan tasik glasier yang terletak di Gunung Rila barat laut di Bulgaria. Tasik-tasik ini merupakan kumpulan tasik yang paling gemar dikunjungi di Bulgaria. Tasik terletak antara 2,100 dan 2,500 meter ketinggian di atas paras laut.
Setiap tasik ini dinamakan sempena ciri-ciri sifatnya. Tasik tertinggi digelar Salzata ("Air Mata") sempena kejernihan airnya sehingga dasarnya dapat dilihat. Tasik kedua tertinggi pula dinamakan Okoto ("Mata") kerana bentuk bujurnya yang hampir sempurna. Okoto juga merupakan tasik cirque yang paling dalam di Bulgaria, dengan kedalaman 37.5 meter. Babreka ("Buah Pinggang") merupakan tasik dengan tebing tasik paling curam berbanding tasik-tasik yang lain. Tasik terbesar pula adalah Bliznaka (Kembar). Trilistnika ("Trifoil") mempunyai bentuk yang tidak teratur dan tebing yang rendah. Tasik paling cetek adalah Ribnoto Ezero (Tasik Ikan) dan tasik paling rendah ialah Dolnoto Ezero ("Tasik Rendah") di mana air yang mengalir dari tasik lain dikumpulkan untuk membentuk Sungai Dzherman.
Tujuh Tasik Rila ini merupakan sebuah tarikan pelancogan di Bulgaria kerana persekitaran alam semula jadinya. Tasik ini biasanya dikunjungi pada bulan Julai dan Ogos, di mana suhunya adalah di atas 10 darjah Celsius dan risiko ribut secara tiba-tiba adalah rendah. Tasik kebiasaannya akan membeku pada bulan Oktober dan hanya akan cair sebelum Jun.