Perkhidmatan pos
From Wikipedia, the free encyclopedia
Sesebuah perkhidmatan pos (atau "pos" sahaja) bertujuan menghantar dan mengutus surat, poskad atau bungkusan khusus dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam laluan atau destinasi yang ditetapkan; melalui suatu sistem memusatkan semua barangan yang dihantar dari penduduk kawasan yang ditadbir. Perkhidmatan sebegini tidak sahaja mengendalikan barang surat sahaja - sesetengah negara misalnya juga mengendalikan sistem telefon dan telegraf (postal, telegraph and telephone, PTT), ada juga yang menguruskan simpanan tetap dan faedah deposit (misalnya Post Office Savings Bank di United Kingdom, di mana cawangannya di Tanah Melayu menjadi duluan kepada Bank Simpanan Nasional) malah juga pendafataran dan pemerolehan pasport.
Meskipun perkembangan teknologi terkini (dari telegraf hinggalah ke mel elektronik) pesat maju dengan kelebihan kelajuan penghantaran serta keselamatan kandungan yang sangat terjamin, penghantaran secara fizikal masih digunakan untuk tujuan perdagangan serta atas alasan persendirian tertentu - misalnya keperluan menandatangani dokumen sebagai bukti sah atau mengikut aturcara penerimaan tertentu dalam urusan rasmi.
Peraturan berkaitan kaedah menghantar dan bertukar surat dan barangan dalam rangkuman sejagat antara negara-negara disediakan dan ditetapkan Kesatuan Pos Sedunia (Universal Postal Union, UPU) melalui keanggotaan 192 negara seluruh dunia.