Marxisme–Leninisme
ideologi politik / From Wikipedia, the free encyclopedia
Marxisme–Leninisme merupakan falsafah politik yang berasaskan gagasan Marxisme dan Leninisme yang bertujuan mengasaskan negara sosialis lantas memajukannya lagi kepada sosialisme dan akhirnya komunisme, sebuah sistem sosial tanpa kelas di mana segala cara pengeluaran adalah hak milik bersama dan semua ahli masyarakat adalah setaraf sepenuhnya.[1] Penganut Marxisme–Leninisme, iaitu Marxis–Leninis mendukung pelbagai pandangan berdasarkan pemahaman masing-masing tentang Marxisme dan Leninisme, tetapi pada umumnya menyokong penubuhan sebuah parti barisan hadapan, sebuah negara pimpinan parti komunis, ekonomi dikuasai negara, internasionalisme, serta menentang demokrasi borjuis dan kapitalisme. Marxisme–Leninisme dibangunkan oleh Joseph Stalin pada lewat 1920-an berdasarkan gagasan beliau sendiri untuk menyatukan fahaman Marxisme dan Leninisme. Marxisme–Leninisme merupakan ideologi rasmi negara Kesatuan Soviet dan parti-parti pemerintah lain yang membentuk Blok Timur dan juga parti-parti politik Internasional Komunis yang tertakluk kepada pengaruh Soviet. Kini, Marxisme–Leninisme merupakan anutan parti-parti politik Stalinis dan Maois di seluruh dunia, malah kekal sebagai fahaman rasmi parti-parti pemerintah negara China, Cuba, Laos dan Vietnam.[2]
Setelah Vladimir Lenin meninggal dunia pada 1924, Marxisme–Leninisme menjadi gerakan falsafah yang tersendiri di Kesatuan Soviet apabila Stalin dan para penyokongnya menguasai parti. Marxisme–Leninisme menyangkal tanggapan umum di kalangan para Marxis akan revolusi dunia sebagai prasyarat untuk membangunkan sosialisme di Rusia, sebaliknya memperjuangkan konsep "sosialisme dalam satu negara" dan peralihan secara beransur-ansur dari kapitalisme kepada sosialisme yang dizahirkan menerusi pelaksanaan pelan lima tahun pertama dan Perlembagaan Soviet 1936. Konsep internasionalisme Marxisme–Leninisme didatangkan menerusi sokongan Soviet terhadap perjuangan revolusi di negara-negara lain (cth. mula-mula menerusi Internasional Komunis ataupun melalui konsep negara yang cenderung ke arah sosialisme setelah berundurnya pengaruh Stalin). Menjelang akhir 1920-an, Stalin menetapkan ortodoksi ideologi di kalangan Parti Komunis Rusia (Bolshevik), Kesatuan Soviet dan Internasional Komunis untuk menubuhkan praksis Marxis–Leninis sejagat.[3][4] Pada akhir 1930-an, buku teks rasmi Stalin, Sejarah Parti Komunis Kesatuan Soviet (Bolshevik) (1938) memperluas penggunaan istilah Marxisme–Leninisme di kalangan komunis dan bukan komunis dalam konteks sains politik.[5]
Marxisme–Leninisme bertujuan mentransformasikan sebuah negara kapitalis kepada negara sosialis secara revolusi dua peringkat yang diterajui oleh sebuah parti barisan hadapan yang terdiri daripada para revolusioner profesional yang didatangkan dari kalangan proletariat. Untuk merealisasikan transformasi negara secara dua peringkat ini, parti barisan hadapan tersebut menubuhkan kediktatoran proletariat (sebagai lawan kepada pemerintahan borjuis) serta menentukan polisi menerusi fahaman demokrasi terpusat.[6][7] Parti komunis Marxis–Leninis merupakan barisan hadapan untuk transformasi politik, ekonomi dan sosial daripada masyarakat kapitalis menjadi masyarakat sosialis sebagai peringkat dasar perkembangan sosioekonomi yang maju ke arah peringkat kemuncak iaitu masyarakat komunis yang tidak mengenal batas negara dan darjat sosial. Ciri-ciri utamanya termasuk cara pengeluaran sebagai hak milik semua, proses pengindustrian dipercepat, pemajuan kuasa produktif masyarakat secara proaktif (penyelidikan dan pembangunan) serta sumber alam dimiliknegarakan.[8]