Gyokuon-housou
From Wikipedia, the free encyclopedia
Gyokuon-hōsō (玉音放送code: ja is deprecated ), diterjemah sebagai "Siaran Suara Permata", merupakan siaran radio yang mana Maharaja Showa Jepun membacakan Pengisytiharan Diraja Penamatan Perang (大東亜戦争終結ノ詔書code: ja is deprecated , Daitōa-sensō-shūketsu-no-shōsho) kepada rakyat Jepun bahawa Kerajaan Jepun telah menerima Deklarasi Potsdam yang menuntut penyerahan kalah tanpa syarat oleh tentera Jepun pada penghujung Perang Dunia Kedua. Ucapan ini disiarkan pada tengah hari Waktu Piawai Jepun pada 15 Ogos 1945 selepas Pertempuran Okinawa, pengeboman atom Hiroshima dan Nagasaki dan pengisytiharan perang terhadap Jepun oleh Kesatuan Soviet.
Ucapan Hirohito barangkali merupakan kali pertama dalam sejarah iaitu seorang Maharaja Jepun berucap (meskipun melalui piring hitam) kepada rakyat jelata. Ucapan ini disampaikan dalam laras bahasa Jepun yang formal dan agak kuno seperti yang digunakan dalam Istana Diraja lama. Tambahan pula, ucapan Hirohito tidak menyentuh mengenai penyerahan secara langsung, sebaliknya menyatakan bahawa baginda telah menitah kerajaannya untuk menerima dengan sepenuhnya syarat-syarat Deklarasi Potsdam. Ini menimbulkan kekeliruan dalam minda ramai pendengar yang tidak pasti sama ada Jepun telah benar-benar menyerah kalah atau sama ada maharaja mereka menggesa mereka agar menentang serangan musuh, diburukkan lagi dengan mutu audio siaran radio yang kurang memuaskan, serta juga bahasa istana yang amat tebal yang digunakan dalam ucapan tersebut.
Ucapan ini tidak disiarkan secara langsung, sebaliknya dimainkan semula daripada rakaman piring hitam yang dihasilkan dalam istana pada 13 atau 14 Ogos 1945 melalui sebuah alat bergelar "garbaa" yang dipatenkan oleh Kubo Hisagi. Kebanyakan pihak tentera Jepun naik marah terhadap kemungkinan bahawa Hirohito bakal menamatkan perang kerana mereka percaya bahawa tindakan demikian amat mengaibkan. Akibatnya, sebanyak seribu pegawai tentera cuba menceroboh istana Diraja pada petang 14 Ogos agar dapat memusnahkan rakaman tersebut. Bahan rakaman itu berjaya diseludup keluar dari istana dalam sebuah bekas kain seluar dalam wanita lalu disiarkan pada hari seterusnya, meskipun terdapat satu lagi cubaan untuk mengelakkan siaran bahan tersebut.